Tarikan baharu Sungai Lui

Sebut sahaja sukan sunnah, ramai yang meminati dan berhasrat mahu menguasai semua kemahiran dalam aktiviti terbabit seperti berkuda, memanah dan berenang.
Meskipun sukan ini suatu ketika dulu asing di Malaysia, kebelakangan ini ia semakin popular kerana dikatakan dapat meningkatkan ketajaman akal, kesihatan badan selain menyemai disiplin dan sahsiah diri yang tinggi.
Namun cabaran dalam menguasai ketiga-tiga sukan berkenaan ialah peminat-peminat aktiviti terbabit terpaksa mengunjungi lokasi di luar dari Lembah Klang dengan memandu berjam-jam lamanya bagi membolehkan mereka untuk mengenali sukan terbabit.
Lebih mencabar ialah tidak ada 'hub' khusus yang mengumpulkan semua aktiviti terbabit pada satu tempat kerana faktor kemudahan selain daripada kemahiran para jurulatih yang kompeten di lokasi berkenaan adalah terhad.
Tentunya pada musim pandemik ini ianya lebih sukar kerana sekatan merentas negeri masih dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus menjejaskan peminat aktiviti daripada mengunjungi pusat-pusat rekreasi sunnah di luar dari Lembah Klang.
Namun penggiat sukan berkenaan kini boleh memenuhi kembali minat terhadap rekreasi apabila mengunjungi lokasi tarikan baru di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang menawarkan pelbagai disiplin membabitkan ketiga-tiga sukan itu.
Terletak dalam lokasi strategik iaitu di persekitaran hutan Sungai Lui dan berhampiran dengan kawasan tarikan pelancongan Sungai Congkak, hub pendidikan dan perkembangan sukan sunnah yang diasaskan oleh Azham Affif Ishak itu diharapkan dapat memenuhi keperluan peminat sukan lasak.

"Saya mula gerakkan pengaruh sukan iaitu berkuda dan memanah di Taman Botani Negara Shah Alam pada tahun 2018 selepas diberi kepercayaan pengurusan teratas untuk kendalikan program sukan sunnah di situ. Jadi, apabila pandemik dan aktiviti sukan rekreasi mula perlahan, saya ambil kesempatan untuk meninjau prospek menarik iaitu cari 'hub' untuk peminat sukan sunnah ada 'port' sendiri.
"Saya gerakkan Jawi Equestrian Martial Arts (JEQMA) Academy dengan bantuan dua lagi sahabat iaitu Zaironizam Daud yang ada kepakaran dalam sukan memanah dan Abd Haris Abu Bakar untuk aktiviti renang.
"Di sini keluasan tanahnya lebih 0.8 hektar (1.5 ekar), ada fasiliti sesuai untuk wujudkan hub bagi sukan sunnah. Banyak modul atau bentuk program yang boleh diketengahkan kepada orang ramai yang meminati sukan berkuda, memanah atau berenang," katanya.

Tambah Azham Affif lagi, lokasi berkenaan ada ruang arena luas untuk aktiviti berkuda, sementara ruang redup bersantai dikhaskan untuk mempelajari memanah. Di seberang pusat itu pula terdapat sungai yang mempunyai paras kedalaman yang berbeza-beza sesuai untuk berenang atau menunggang bersama kuda.
"Bagi pengunjung mereka akan menjalani proses pengenalan iaitu sesi teori antaranya keselamatan dan teknikal yang betul ketika mengendalikan aktiviti terbabit. Fokusnya kami mahu penggiat sukan ini ada ilmu yang boleh mereka bawa pulang sebagai pengisian atau kemahiran baru.
"Bagi aktiviti di sini ada pelbagai bentuk iaitu disiplin berasingan atau kombinasi sukan sunnah boleh dicuba mengikut kumpulan pengunjung. Aktiviti berkuda di sini selain di arena, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyusuri sungai dengan berkuda.
"Ini penting bagi membantu mereka untuk merasai pengalaman istimewa yang jarang dinikmati di tempat lain serta melihat secara dekat bagaimana keadaannya haiwan ini 'survival' merentasi sungai terutama kawasan dalam,"katanya.
Menurut jurulatih renang JEQMA Academy Abd Haris Abu Bakar, mereka bukan sahaja memperkenalkan kebaikan sukan Sunnah semata-mata, sebaliknya pengisian yang berlainan itu memberi pendedahan mengenai hikmah yang unik selain beruopaya meningkatkan 'resilient' (daya ketahanan) individu itu sendiri.

"Bukan seronok semata-mata, pengunjung sendiri dapat nilai tambah seperti 'survival' apabila mereka berkuda dalam sungai yang dalam. Di sini ada kawasan sungai yang dalamnya melepasi ketinggian kuda dan pengunjung boleh rasai sendiri bagaimana untuk kendalikan situasi itu.
"Di sini pengunjung tidak perlu bimbang kerana aspek seperti keselamatan amat ditekankan dan membolehkan mereka juga mempelajari ilmu baru iaitu 'survival' yang mana kurang didedahkan di pusat rekreasi lain," katanya.
Sementara itu menurut jurulatih memanah pusat itu juga, Zaironizam Daud, pendedahan pelbagai jenis format aktiviti memanah boleh dirasai pengunjung. Ia termasuklah mengenali dan mengendali peralatan memanah tradisi.
"Bagi saya aktiviti unik iaitu memanah menggunakan alat panah tradisi dapat mengangkat kepelbagaian seni pembuatan peralatan satu ketika dahulu. Selain mempelajari teknik betul, mereka juga akan mengenali kepelbagaian busur daripada negara-negara lain.
"Ia berlainan dengan busur 'modern recurve' atau alat panah moden yang sudah mempunyai aksesori tertentu dalam membantu pemanah membidik sasaran. Boleh juga rasai genre berbeza termasuklah memanah taktikal atau berkuda," katanya.
JΞQMΛ ΛCΛDΞMY
• 🎯 Memanah | Archery
• 🏇 Berkuda | Horse Riding
• 🏊 Berenang | Swimming
• 📞 https://wa.me/601115217721
📬 PT12153, Batu 19 ½,
• Jalan Sungai Lui,
• 43100 Hulu Langat,
• Selangor Darul Ehsan
#stepbystep #keepmovingforward #beagreateryou